Berdasarkan kepada bukti-bukti arkeologi yang sedikit, dijangkakan bahawa kebudayaan terawal yang pernah wujud di Burma sudah pun bertapak sejak 11,000 SM, terutamanya di zon kering tengah berdekatan dengan Sungai Irrawaddy. Zaman batu Anyathian wujud sekitar masa yang sama dengan zaman Paleolitik bawah dan pertengahan di Eropah. Tiga gua terletak berdekatan dengan Taungggyi di kaki bukit negeri Shan mempunyai artifak-artifak purba zaman Neolitik yang dianggarkan dari 10-6,000 SM.
Kira-kira 1500 SM, penduduk di rantau itu mula beralih dari tembaga ke gangsa, menanam padi dan membela babi serta ayam. Mereka menjadi antara penduduk terawal di dunia yang berbuat demikian. Menjelang 500 SM, penempatan pertukangan besi muncul di sebelah selatan Mandalay moden. Keranda-keranda berukir dari gangsa dan tapak pengebumian dipenuhi dengan tajau-tajau tanah liat turut ditemui menerusi usaha ahli arkeologi.
Bukti-bukti arkeologi di selatan Lembah Sungai Samon di Mandalay memberi tanggapan bahawa di situ pernah wujud penempatan pertanian padi yang berdagang dengan China antara 500 SM dan 200 M. Sekitar abad ke-2 SM, bangsa Pyu yang berbahasa Tibeto-Burma mula masuk ke Lembah Sungai Irrrawaddy dari Yunnan moden menggunakan laluan Sungai Tapai dan Sungai Shweli. Kemungkinan, asal-usul orang Pyu adalah dari Tasik Qinghai yang kini terletak di wilayah-wilayah Qinghai dan Gansu di Republik Rakyat China.
Orang Pyu, dilaporkan mempunyai rekod yang besar dan mereka membangunkan penempatan-penempatan di sekitar lembangan yang berpusat di pertemuan Sungai Irrawaddy dan Sungai Chindwin yang sudah pun dihuni semenjak zaman Paleolitik. Rantau bangsa Pyu ini dahulunya lebih memanjang berbanding dengan luas, mengunjur dari Śrī Kṣetra di selatan ke Halin di utara, Binnaka dan Maingmaw ke timur dan kemungkinannya di Ayadawkye ke barat.
Rekod-rekod dinasti Tang melaporkan bahawa wujud 18 negara bangsa Pyu yang dikelilingi oleh tembok, merangkumi 298 daerah. Kajiselidik arkeologi sebenarnya sudah menemui 12 kota berkubu, termasuk lima kota berkubu besar dan beberapa penempatan yang tidak dikubukan yang terletak di atau berdekatan dengan tiga rantau penting bersaliran di Burma sebelum zaman penjajahan British iaitu di:
- Lembah Sungai Mu di utara
- Lembangan Kyaukse di tengah
- Rantau Minbu di sebelah selatan dan barat di dua rantau atas ini.
Kota-kota ini wujud selari dengan zaman kerajaan Funan di Kemboja dan kemungkinan kerajaan Champa di Vietnam Selatan, Dvaravati di Siam, Tambralinga dan Takuapa di Segenting Kra, dan Srivijaya di selatan Sumatera.
Penemuan negara-negara kota kecil itu membayangi kebangkitan kerajaan-kerajaan klasik di Asia Tenggara pada milenia kedua masihi.